22 February 2013

Program Santai Bersama ISIS KAI UMT


Pada 22 Februari 2013, Ikatan Siswi (ISIS) KAI UMT telah mengadakan program pertamanya iaitu Program Santai Bersama ISIS KAI UMT yang bertempat di Pantai Tok Jembal. Program ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan ISIS kepada semua mahasiswi UMT disamping mengeratkan ikatan persaudaraan antara ahli ISIS sendiri. Alhamdulillah, hampir 60 orang mahasiswi telah menyertai program ini.

Antara aktiviti yang diadakan pada program ini ialah senaman tai chi yang dikelola oleh ahli Persatuan Wakil Pelajar Cina (WPC) UMT dan aktiviti ukhuwah antara peserta yang hadir yang dikelola oleh saudari Zaiimah Bt Rozman, Biro Personaliti ISIS. Selain itu, pengisian berkaitan wanita juga telah disampaikan oleh Pn. Azza Jauhar yang cukup memberi inspirasi kepada peserta yang hadir. 


Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah hadir pada Program Santai Bersama ISIS ini dan tahniah diucapkan kepada saudari Naqiyyu Bazz Binti Ramli, selaku pengarah program juga merangkap Biro Kerjaya dan Akademik ISIS kerana berjaya menjayakan program ini dengan lancar. Semoga ikatan ukhuwah yang terjalin antara peserta yang hadir akan berkekalan selamanya. Harapan daripada pimpinan ISIS, semoga mahasiswi- mahasiswi UMT terus menyokong program ISIS dan KAI.

13 February 2013

Industri Hiburan Negara Perlu Lebih Sensitif Terhadap Isu Agama



Adegan di dalam drama 'Sahara' yang mencetuskan kontroversi

 Penayangan drama ‘Sahara’ di Astro Prima baru-baru ini menjadi kontroversi dalam kalangan masyarakat kita yang cakna. Drama yang mengisahkan tentang percintaan seorang wanita muslimah dengan seorang lelaki amat mengejutkan. Bukanlah kerana percintaan tersebut namun pembawakan watak wanita muslimah yang bernama Sahara dan pasangannya Izlan di dalam drama itu menimbulkan rasa tidak senang masyarakat Malaysia kerana wanita itu membawa imej menutup aurat dan berniqab tetapi melakonkan watak berpelukan dan berpegangan tangan dengan lelaki ajnabi dirasakan amat menghina wanita muslimah yang mengikut syariat Islam.

Tidak dinafikan, drama-drama berunsurkan ‘cinta islamik’ pada masa kini amat menjadi perhatian dan dapat mengaut keuntungan yang tinggi. Namun sikap sambil lewa sesetengah pengarah drama amat mengecewakan sesetengah pihak. Kredibiliti pengarahnya, dipersoalkan kerana tidak betul-betul mendapatkan nasihat pakar syariah dalam menghasilkan filem berunsurkan Islam. Masyarakat masa kini bukanlah yang cepat melatah dan bersikap tertutup namun masyarakat Malaysia abad ini khususnya anak muda amat cakna dan prihatin tentang isu yang melibatkan maruah agama serta penyelewengan yang berlaku dek kerana majunya penyaluran maklumat melalui laman sosial dan alam maya.

Perlu ditegaskan di sini bahawa apa-apa sahaja filem, drama dan lakonan yang tidak mengikut syariat yang ditetapkan oleh Islam dari segi pergaulan, aurat, dan sebagainya juga perlu diberi perhatian dan tetap salah di sisi Islam. Namun drama ‘Sahara’ kali ini dikatakan menghina agama kerana imej wanita muslimah itu dilihat seperti ‘biasa’ dalam adegan yang tak sepatutnya dilakukan oleh wanita beimejkan Islam. Adegan tersebut sedikit sebanyak melukakan hati wanita-wanita yang menjaga aurat dah maruah dirinya kerana dilihat seperti murahan kerana dapat dipeluk dan dipegang oleh sesiapa sahaja.

Firman Allah S.W.T dalam surah An-Nisa’ ayat 31 "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Sesungguhnya seorang wanita itu membawa imej agamanya. Wanita Islam yang menjaga syariat dapat menzahirkan ciri-ciri Islam yang indah dengan sifat yang lemah-lembut, menjaga maruah diri dan menjaga pergaulan. Di situlah letaknya harga seorang wanita Islam yang dikagumi bukan sahaja umat Islam malah golongan bukan Islam sekalipun. Dengan memaparkan imej wanita bertudung, berniqab serta menjaga auratnya di dalam filem ‘Sahara’, pelakon tersebut seperti mewakili gambaran semua wanita muslimah kepada semua orang dan di situ tercalarnya imej wanita Islam dengan adegan yang tak sepatutnya dilakukan. 

Suka untuk saya katakana bahawa, Industri filem dan drama hari ini perlu lebih sensitif berkaitan isu-isu agama dalam menghasilkan filem dan apa sahaja produk seni kerana ia memberi kesan kepada masyarakat terutamanya golongan remaja. Kualiti dan impak hasil seni itu perlu lebih dititikberatkan berbanding mengaut keuntungan semata-mata. Jika digunakan dengan sebaiknya, industri ini boleh menjadi sumber dakwah utama dalam menyebarkan Islam. Filem ‘cinta Islamik’ pecah panggung yang mula diperkenalkan dari Indonesia seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, dan drama Malaysia yang mendapat bilangan penonton tertinggi seperti Nur Kasih menunjukkan ramai yang dahagakan persembahan cinta sebenar yang bercirikan Islam yang dianggap lebih indah.

Terbaru, drama Warkah Cinta sekali lagi drama bercirikan cinta berlandaskan syariat mendapat perhatian ramai dan mendapat ratusan ribu penonton di laman Youtube dan drama ini seharusnya diberi pujian kerana mempunyai pengarah syariah yang khusus dan pengetahuan Islam yang diperolehi oleh masyarakat dari drama tersebut lebih jelas dan boleh dipercayai. Justeru, keindahan Islam dapat disebarkan dengan lebih mudah dalam bentuk hiburan kerana mempunyai jumlah penggemar yang paling tinggi. 

Tulisan ini bukanlah untuk menghentam mana-mana pihak tetapi hanya ingin membuka mata sesiapa sahaja bahawa tanggungjawab memepertahankan kesucian agama itu adalah tanggungjawab semua umat Islam dan bukan golongan agama semata-mata. Tidak ‘keras’ sekiranya saya katakan sesiapa tidak rasa terkesan dan terjentik dengan isu yang melibatkan kesucian agama, sudah tidak ada lagi dalam dirinya rasa sensitif dan tanggungjwabnya untuk mempertahankan agama.

Sesungguhnya agama Islam itu mudah tetapi tidak boleh dipermudahkan. Tetap dan tegas dari sudut hukum namun fleksibel dari sudut pelaksanaannya. Oleh sebab itulah hukum-hakam yang digunakan dalam Islam tiada penambahan sejak dari zaman Rasulullah S.A.W sehinggalah zaman millennium ini kerana fleksibelnya Islam untuk dilaksanakan sepanjang masa pada setiap zaman, tempat, masa, dan keadaan. 

Wallahua’lam 

Nurul Sakinah Binti Mohd Sofiuddin
Exco Pembangunan Insan Kelab Amatur Intelektual
Biro Personaliti Ikatan Siswi (ISIS)

4 February 2013

Konvensyen Pendakwah Muda IPT ASEAN 2013


Pada 3 Februari 2013, Konvensyen Pendakwah Muda IPT ASEAN anjuran Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM) telah diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai. Konvensyen yang membawa tema 'Belia Islam Pemangkin Transformasi Ummah' diadakan bertujuan untuk menyuburkan budaya integriti dan integrasi di kalangan pemimpin pelajar di peringkat kampus, di samping memupuk barisan kepimpinan yang bertaqwa, berkredibiliti dan berkarisma yang akan melonjakkan nama negara di masa hadapan.

Antara pembentang kertas kerja didalam konvensyen tersebut ialah Prof Datuk Dr Sidek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah (Universiti Malaysia Kelantan), bekas Timbalan Mufti Negeri Sembilan Mohd Zaidi Ramly, Timbalan Pengarah Pembangunan Belia Majlis Ugama Islam Singapura, Farah Mahamood AlJunied dan penyelidik dari Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Kementerian Agama Indonesia, Akmal Salim Ruhana.

Konvensyen tersebut dimulakan dengan ucaptama oleh Dato' Dr. Sidek Baba (Professor UIA) yang bertajukPendakwah Muda Agen Transformasi Ummah’. Antara intipati yang disampaikan adalah mengenai bagaimana kita dapat menangani hegemoni penguasaan barat terhadap umat Islam daripada segi pemikiran, kebudayaan & nilai, serta ilmu & teknologi. Beliau juga menekankan kepada mahasiswa untuk tidak hanya menjadi pengguna, tetapi harus juga menjadi penyumbang dan tidak mengharapkan bantuan daripada negara barat semata-mata.


Ahli ISIS berpeluang untuk sama- sama menyertai konvensyen tersebut yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi ISIS, saudari Siti Aishah Binti Ismail. Pada konvensyen tersebut juga, saudari Siti Aishah yang juga merangkap Pengerusi SIGMA Terengganu dapat bertemu dengan Pengerusi SIGMA Perak iaitu saudari Siti Athirah Binti Mohd Zuki. Pertemuan yang tidak disangka itu sedikit sebanyak telah merapatkan ukhuwah diantara SIGMA Terengganu dan SIGMA Perak. Beberapa perancangan untuk memperhebatkan gerak kerja bersama telah pun dipersetujui.

24 January 2013

Nikmat Umat Nabi Muhammad SAW


Alhamdulillah. Subhanallah. Syukur masih diberi nafas dan kesempatan untuk merasa nikmat iman dan Islam. Alhamdulillah, kita telah pun memasuki bulan Rabi’ul Awal 1434H. Harapan saya sahabat-sahabat tidak lupa akan tarikh keramat di mana diutuskan seorang Rasul yang memberi rahmat untuk sekalian alam iaitu lahirnya Baginda Muhammad pada 12 Rabi’ul Awal, Tahun Gajah. 

Ingin saya kongsikan sedikit kisah yang saya peroleh dari sebuah buku yang berjudul Uswatun Hasanah karya Haddad Alwi.

**********

Wahab bin Munabbih mengisahkan, ketika Nabi Musa membaca kandungan ayat-ayat Taurat, terlihat olehnya kelebihan umat Nabi Muhammad SAW. Beliau berkata, "Ya Tuhanku, siapakah gerangan umat yang dirahmati seperti yang kudapati dalam ayat-ayat ini?"

Maka Allah menjelaskan, "Mereka itulah umat Muhammad SAW. Mereka rela dengan sedikit rezeki yang Aku berikan, maka Aku pun rela dengan amalan yang sedikit daripada mereka. Akan Aku masukkan mereka ke dalam syurga dengan kesaksian la ilaha illallah!"

Nabi Musa kembali mengadu kepada Allah, "Aku dapati dalam ayat-ayat ini, satu umat yang akan dibangkitkan pada Hari Kiamat dengan wajah-wajah yang bercahaya laksana bulan purnama. Jadikanlah mereka itu umatku, ya Allah!"

Lalu Allah SWT menegaskan, "Mereka itu adalah umat Muhammad SAW. Aku bangkitkan mereka itu pada Hari Kiamat dengan wajah-wajah yang bersinar dan bercahaya disebabkan dari bekas-bekas wuduk dan sujud mereka."

Lalu Nabi Musa kembali berkata, "Aku dapati dalam ayat ini satu umat yang mengerjakan solat lima kali sehari semalam, puasa di Bulan Ramadhan kerana Mu, menunaikan haji ke Baitul Haram kerana Mu, menyerukan perbuatan yang makruf dan mencegah perbuatan mungkar, menyimpan kitab suci di dada mereka, sehingga terbukalah pintu-pintu langit dan turunlah rahmat bagi mereka. Jadikanlah mereka itu umatku, ya Allah!"
  
Allah SWT lalu berkata, "Mereka itu adalah umat Muhammad SAW"
  
Tidak hanya itu, Nabi Musa kembali berkata, "Ya Allah, Engkau sudah anugerahkan segala kebaikan kepada Ahmad ( Muhammad) beserta umatnya, maka jadikanlah aku sebagai umat Muhammad SAW!"

Maka Allah SWT menjelaskan dalam surah Al-Araf;144
Allah berfirman: "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), Dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan Dengan KalamKu; oleh itu, Terimalah apa Yang Aku kurniakan kepadaMu, dan Jadikanlah dirimu dari orang-orang Yang bersyukur". 

Begitu lah kisahnya betapa kita perlu, mesti, dan wajib BERSYUKUR menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Betapa beruntungnya kita sebagai umat Muhammad SAW sehingga Nabi Musa yang memang seorang nabi pun ingin menjadi umat Nabi Muhammad SAW, sedangkan Nabi Musa sudah pun dijamin masuk syurga dan banyak lagi kelebihan Nabi Musa berbanding kita yang hanya insan biasa tapi bezanya kita adalah umat Nabi Muhammad SAW. Subhanallah.

Siti Nurfatehah Binti Hj Othman
Biro Spiritual ISIS KAI UMT
Bendahari II Kelab Amatur Intelektual  

20 January 2013

Siti Hajar Pelajar UTeM Telah Kembali Ke Rahmatullah

 

Pada jam 9.25 pagi, 20 Januari 2013 (Ahad), ISIS telah menerima berita bahawa saudari Siti Hajar Binti Mat Sabir, pelajar tahun pertama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah pulang ke rahmatullah.

Kondisi saudari Siti Hajar dikatakan semakin teruk apabila saudari Hajar mengalami demam panas dan terdapat jangkitan pada paru- parunya sehingga sukar untuknya bernafas. Saraf tunjangnya juga telah gagal untuk menghantar arahan ke anggota bandan sehingga perutnya membengkak dan usus besarnya tidak dapat menyalurkan najis dengan sempurna.

Sesungguhnya Allah lebih menyayangi saudari Siti Hajar. Mohon untuk semua mendoakan kebaikan dan Al Fatihah kepada arwah Siti Hajar. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan berada dalam golongan orang- orang yang beriman. Sesungguhnya kerana Allah dan kepada Dia kita kembali.

Nyawa kita ini adalah pinjaman yang Allah SWT berikan kepada kita. Ia adalah milik mutlak Allah dan tidak kekal didunia ini. Kita harus bersyukur dengan nikmat yang kita peroleh dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya.

ISIS KAI UMT mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Siti Hajar Binti Mat Sabir. Semoga keluarga arwah tabah dengan ujian ini. Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun~

----------------------------------------------------------------------

Info:

  • Pada 6 Januari 2013, saudari Siti Hajar telah mengalami kemalangan bersama tiga orang sahabatnya di Melaka. [Link]
  • Pimpinan Kelab Amatur Intelektual (KAI), diketuai oleh saudara Muhammad Raimi B. Abdul Rauf, Presiden KAI telah menziarahi mangsa- mangsa kemalangan di Hospital Melaka. [Link]
  • Pimpinan Ikatan Siswi (ISIS KAI UMT) diketuai oleh saudari Siti Aishah Binti Ismail, Timbalan Pengerusi ISIS telah menziarahi saudari Azizue Hasni, salah seorang mangsa kemalangan juga sahabat kepada arwah Siti Hajar. [Link]