22 February 2013

Program Santai Bersama ISIS KAI UMT


Pada 22 Februari 2013, Ikatan Siswi (ISIS) KAI UMT telah mengadakan program pertamanya iaitu Program Santai Bersama ISIS KAI UMT yang bertempat di Pantai Tok Jembal. Program ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan ISIS kepada semua mahasiswi UMT disamping mengeratkan ikatan persaudaraan antara ahli ISIS sendiri. Alhamdulillah, hampir 60 orang mahasiswi telah menyertai program ini.

Antara aktiviti yang diadakan pada program ini ialah senaman tai chi yang dikelola oleh ahli Persatuan Wakil Pelajar Cina (WPC) UMT dan aktiviti ukhuwah antara peserta yang hadir yang dikelola oleh saudari Zaiimah Bt Rozman, Biro Personaliti ISIS. Selain itu, pengisian berkaitan wanita juga telah disampaikan oleh Pn. Azza Jauhar yang cukup memberi inspirasi kepada peserta yang hadir. 


Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah hadir pada Program Santai Bersama ISIS ini dan tahniah diucapkan kepada saudari Naqiyyu Bazz Binti Ramli, selaku pengarah program juga merangkap Biro Kerjaya dan Akademik ISIS kerana berjaya menjayakan program ini dengan lancar. Semoga ikatan ukhuwah yang terjalin antara peserta yang hadir akan berkekalan selamanya. Harapan daripada pimpinan ISIS, semoga mahasiswi- mahasiswi UMT terus menyokong program ISIS dan KAI.

13 February 2013

Industri Hiburan Negara Perlu Lebih Sensitif Terhadap Isu Agama



Adegan di dalam drama 'Sahara' yang mencetuskan kontroversi

 Penayangan drama ‘Sahara’ di Astro Prima baru-baru ini menjadi kontroversi dalam kalangan masyarakat kita yang cakna. Drama yang mengisahkan tentang percintaan seorang wanita muslimah dengan seorang lelaki amat mengejutkan. Bukanlah kerana percintaan tersebut namun pembawakan watak wanita muslimah yang bernama Sahara dan pasangannya Izlan di dalam drama itu menimbulkan rasa tidak senang masyarakat Malaysia kerana wanita itu membawa imej menutup aurat dan berniqab tetapi melakonkan watak berpelukan dan berpegangan tangan dengan lelaki ajnabi dirasakan amat menghina wanita muslimah yang mengikut syariat Islam.

Tidak dinafikan, drama-drama berunsurkan ‘cinta islamik’ pada masa kini amat menjadi perhatian dan dapat mengaut keuntungan yang tinggi. Namun sikap sambil lewa sesetengah pengarah drama amat mengecewakan sesetengah pihak. Kredibiliti pengarahnya, dipersoalkan kerana tidak betul-betul mendapatkan nasihat pakar syariah dalam menghasilkan filem berunsurkan Islam. Masyarakat masa kini bukanlah yang cepat melatah dan bersikap tertutup namun masyarakat Malaysia abad ini khususnya anak muda amat cakna dan prihatin tentang isu yang melibatkan maruah agama serta penyelewengan yang berlaku dek kerana majunya penyaluran maklumat melalui laman sosial dan alam maya.

Perlu ditegaskan di sini bahawa apa-apa sahaja filem, drama dan lakonan yang tidak mengikut syariat yang ditetapkan oleh Islam dari segi pergaulan, aurat, dan sebagainya juga perlu diberi perhatian dan tetap salah di sisi Islam. Namun drama ‘Sahara’ kali ini dikatakan menghina agama kerana imej wanita muslimah itu dilihat seperti ‘biasa’ dalam adegan yang tak sepatutnya dilakukan oleh wanita beimejkan Islam. Adegan tersebut sedikit sebanyak melukakan hati wanita-wanita yang menjaga aurat dah maruah dirinya kerana dilihat seperti murahan kerana dapat dipeluk dan dipegang oleh sesiapa sahaja.

Firman Allah S.W.T dalam surah An-Nisa’ ayat 31 "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Sesungguhnya seorang wanita itu membawa imej agamanya. Wanita Islam yang menjaga syariat dapat menzahirkan ciri-ciri Islam yang indah dengan sifat yang lemah-lembut, menjaga maruah diri dan menjaga pergaulan. Di situlah letaknya harga seorang wanita Islam yang dikagumi bukan sahaja umat Islam malah golongan bukan Islam sekalipun. Dengan memaparkan imej wanita bertudung, berniqab serta menjaga auratnya di dalam filem ‘Sahara’, pelakon tersebut seperti mewakili gambaran semua wanita muslimah kepada semua orang dan di situ tercalarnya imej wanita Islam dengan adegan yang tak sepatutnya dilakukan. 

Suka untuk saya katakana bahawa, Industri filem dan drama hari ini perlu lebih sensitif berkaitan isu-isu agama dalam menghasilkan filem dan apa sahaja produk seni kerana ia memberi kesan kepada masyarakat terutamanya golongan remaja. Kualiti dan impak hasil seni itu perlu lebih dititikberatkan berbanding mengaut keuntungan semata-mata. Jika digunakan dengan sebaiknya, industri ini boleh menjadi sumber dakwah utama dalam menyebarkan Islam. Filem ‘cinta Islamik’ pecah panggung yang mula diperkenalkan dari Indonesia seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, dan drama Malaysia yang mendapat bilangan penonton tertinggi seperti Nur Kasih menunjukkan ramai yang dahagakan persembahan cinta sebenar yang bercirikan Islam yang dianggap lebih indah.

Terbaru, drama Warkah Cinta sekali lagi drama bercirikan cinta berlandaskan syariat mendapat perhatian ramai dan mendapat ratusan ribu penonton di laman Youtube dan drama ini seharusnya diberi pujian kerana mempunyai pengarah syariah yang khusus dan pengetahuan Islam yang diperolehi oleh masyarakat dari drama tersebut lebih jelas dan boleh dipercayai. Justeru, keindahan Islam dapat disebarkan dengan lebih mudah dalam bentuk hiburan kerana mempunyai jumlah penggemar yang paling tinggi. 

Tulisan ini bukanlah untuk menghentam mana-mana pihak tetapi hanya ingin membuka mata sesiapa sahaja bahawa tanggungjawab memepertahankan kesucian agama itu adalah tanggungjawab semua umat Islam dan bukan golongan agama semata-mata. Tidak ‘keras’ sekiranya saya katakan sesiapa tidak rasa terkesan dan terjentik dengan isu yang melibatkan kesucian agama, sudah tidak ada lagi dalam dirinya rasa sensitif dan tanggungjwabnya untuk mempertahankan agama.

Sesungguhnya agama Islam itu mudah tetapi tidak boleh dipermudahkan. Tetap dan tegas dari sudut hukum namun fleksibel dari sudut pelaksanaannya. Oleh sebab itulah hukum-hakam yang digunakan dalam Islam tiada penambahan sejak dari zaman Rasulullah S.A.W sehinggalah zaman millennium ini kerana fleksibelnya Islam untuk dilaksanakan sepanjang masa pada setiap zaman, tempat, masa, dan keadaan. 

Wallahua’lam 

Nurul Sakinah Binti Mohd Sofiuddin
Exco Pembangunan Insan Kelab Amatur Intelektual
Biro Personaliti Ikatan Siswi (ISIS)

4 February 2013

Konvensyen Pendakwah Muda IPT ASEAN 2013


Pada 3 Februari 2013, Konvensyen Pendakwah Muda IPT ASEAN anjuran Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM) telah diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai. Konvensyen yang membawa tema 'Belia Islam Pemangkin Transformasi Ummah' diadakan bertujuan untuk menyuburkan budaya integriti dan integrasi di kalangan pemimpin pelajar di peringkat kampus, di samping memupuk barisan kepimpinan yang bertaqwa, berkredibiliti dan berkarisma yang akan melonjakkan nama negara di masa hadapan.

Antara pembentang kertas kerja didalam konvensyen tersebut ialah Prof Datuk Dr Sidek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah (Universiti Malaysia Kelantan), bekas Timbalan Mufti Negeri Sembilan Mohd Zaidi Ramly, Timbalan Pengarah Pembangunan Belia Majlis Ugama Islam Singapura, Farah Mahamood AlJunied dan penyelidik dari Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Kementerian Agama Indonesia, Akmal Salim Ruhana.

Konvensyen tersebut dimulakan dengan ucaptama oleh Dato' Dr. Sidek Baba (Professor UIA) yang bertajukPendakwah Muda Agen Transformasi Ummah’. Antara intipati yang disampaikan adalah mengenai bagaimana kita dapat menangani hegemoni penguasaan barat terhadap umat Islam daripada segi pemikiran, kebudayaan & nilai, serta ilmu & teknologi. Beliau juga menekankan kepada mahasiswa untuk tidak hanya menjadi pengguna, tetapi harus juga menjadi penyumbang dan tidak mengharapkan bantuan daripada negara barat semata-mata.


Ahli ISIS berpeluang untuk sama- sama menyertai konvensyen tersebut yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi ISIS, saudari Siti Aishah Binti Ismail. Pada konvensyen tersebut juga, saudari Siti Aishah yang juga merangkap Pengerusi SIGMA Terengganu dapat bertemu dengan Pengerusi SIGMA Perak iaitu saudari Siti Athirah Binti Mohd Zuki. Pertemuan yang tidak disangka itu sedikit sebanyak telah merapatkan ukhuwah diantara SIGMA Terengganu dan SIGMA Perak. Beberapa perancangan untuk memperhebatkan gerak kerja bersama telah pun dipersetujui.