Adegan di dalam drama 'Sahara' yang mencetuskan kontroversi |
Penayangan
drama ‘Sahara’ di Astro Prima baru-baru ini
menjadi kontroversi dalam kalangan masyarakat kita yang cakna. Drama yang
mengisahkan tentang percintaan seorang wanita muslimah dengan seorang lelaki
amat mengejutkan. Bukanlah kerana percintaan tersebut namun pembawakan watak
wanita muslimah yang bernama Sahara dan pasangannya Izlan di dalam drama itu
menimbulkan rasa tidak senang masyarakat Malaysia kerana wanita itu membawa
imej menutup aurat dan berniqab tetapi melakonkan watak berpelukan dan berpegangan
tangan dengan lelaki ajnabi dirasakan amat menghina wanita muslimah yang
mengikut syariat Islam.
Tidak
dinafikan, drama-drama berunsurkan ‘cinta islamik’ pada masa kini amat menjadi
perhatian dan dapat mengaut keuntungan yang tinggi. Namun sikap sambil lewa
sesetengah pengarah drama amat mengecewakan sesetengah pihak. Kredibiliti
pengarahnya, dipersoalkan kerana tidak betul-betul mendapatkan nasihat pakar
syariah dalam menghasilkan filem berunsurkan Islam. Masyarakat masa kini
bukanlah yang cepat melatah dan bersikap tertutup namun masyarakat Malaysia abad
ini khususnya anak muda amat cakna dan prihatin tentang isu yang melibatkan
maruah agama serta penyelewengan yang berlaku dek kerana majunya penyaluran
maklumat melalui laman sosial dan alam maya.
Perlu
ditegaskan di sini bahawa apa-apa sahaja filem, drama dan lakonan yang tidak
mengikut syariat yang ditetapkan oleh Islam dari segi pergaulan, aurat, dan
sebagainya juga perlu diberi perhatian dan tetap salah di sisi Islam. Namun
drama ‘Sahara’ kali ini dikatakan menghina
agama kerana imej wanita muslimah itu dilihat seperti ‘biasa’ dalam adegan yang
tak sepatutnya dilakukan oleh wanita beimejkan Islam. Adegan tersebut sedikit
sebanyak melukakan hati wanita-wanita yang menjaga aurat dah maruah dirinya kerana
dilihat seperti murahan kerana dapat dipeluk dan dipegang oleh sesiapa sahaja.
Firman Allah
S.W.T dalam surah An-Nisa’ ayat 31 "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan
yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram),
dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan
tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa
mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka,
atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki,
atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan
Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang
telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum
mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki
untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya
kamu berjaya."
Sesungguhnya
seorang wanita itu membawa imej agamanya. Wanita Islam yang menjaga syariat
dapat menzahirkan ciri-ciri Islam yang indah dengan sifat yang lemah-lembut,
menjaga maruah diri dan menjaga pergaulan. Di situlah letaknya harga seorang
wanita Islam yang dikagumi bukan sahaja umat Islam malah golongan bukan Islam
sekalipun. Dengan memaparkan imej wanita bertudung, berniqab serta menjaga
auratnya di dalam filem ‘Sahara’, pelakon tersebut seperti mewakili gambaran
semua wanita muslimah kepada semua orang dan di situ tercalarnya imej wanita
Islam dengan adegan yang tak sepatutnya dilakukan.
Suka untuk saya
katakana bahawa, Industri filem dan drama hari ini perlu lebih sensitif
berkaitan isu-isu agama dalam menghasilkan filem dan apa sahaja produk seni
kerana ia memberi kesan kepada masyarakat terutamanya golongan remaja. Kualiti
dan impak hasil seni itu perlu lebih dititikberatkan berbanding mengaut
keuntungan semata-mata. Jika digunakan dengan sebaiknya, industri ini boleh
menjadi sumber dakwah utama dalam menyebarkan Islam. Filem ‘cinta Islamik’
pecah panggung yang mula diperkenalkan dari Indonesia seperti Ayat-ayat Cinta,
Ketika Cinta Bertasbih, dan drama Malaysia yang mendapat bilangan penonton
tertinggi seperti Nur Kasih menunjukkan ramai yang dahagakan persembahan cinta
sebenar yang bercirikan Islam yang dianggap lebih indah.
Terbaru, drama Warkah Cinta sekali lagi drama bercirikan cinta berlandaskan syariat mendapat perhatian ramai dan mendapat ratusan ribu penonton di laman Youtube dan drama ini seharusnya diberi pujian kerana mempunyai pengarah syariah yang khusus dan pengetahuan Islam yang diperolehi oleh masyarakat dari drama tersebut lebih jelas dan boleh dipercayai. Justeru, keindahan Islam dapat disebarkan dengan lebih mudah dalam bentuk hiburan kerana mempunyai jumlah penggemar yang paling tinggi.
Tulisan ini
bukanlah untuk menghentam mana-mana pihak tetapi hanya ingin membuka mata
sesiapa sahaja bahawa tanggungjawab memepertahankan kesucian agama itu adalah
tanggungjawab semua umat Islam dan bukan golongan agama semata-mata. Tidak ‘keras’
sekiranya saya katakan sesiapa tidak rasa terkesan dan terjentik dengan isu
yang melibatkan kesucian agama, sudah tidak ada lagi dalam dirinya rasa
sensitif dan tanggungjwabnya untuk mempertahankan agama.
Sesungguhnya agama Islam itu mudah tetapi tidak boleh dipermudahkan. Tetap dan tegas dari sudut hukum namun fleksibel dari sudut pelaksanaannya. Oleh sebab itulah hukum-hakam yang digunakan dalam Islam tiada penambahan sejak dari zaman Rasulullah S.A.W sehinggalah zaman millennium ini kerana fleksibelnya Islam untuk dilaksanakan sepanjang masa pada setiap zaman, tempat, masa, dan keadaan.
Wallahua’lam
Nurul Sakinah Binti Mohd Sofiuddin
Exco Pembangunan Insan Kelab Amatur Intelektual
Biro Personaliti Ikatan Siswi (ISIS)
No comments:
Post a Comment