PENGIKTIRAFAN ISLAM TERHADAP WANITA
Dengan Nama Allah Yang
Pemurah Lagi Maha Penyayang..
Assalamualaikum w.b.t...
Aduhai puteriku
sayang...
Sungguh tinggi
dan mulianya wanita di sisi Islam. Wanita dijaga dan dipelihara sebaiknya jika
dibandingkan dengan kedudukan wanita pada zaman Jahiliyyah. Wanita diperlakukan
sesuka hati menurut hawa nafsu mereka, ditindas dan diperlekehkan. Namun
setelah kedatangan Islam, semua belenggu yang merendahkan wanita itu
dihancurkan. Kehormatan dan nilai-nilai kemanusiaan wanita pun dikembalikan.
Wanita ditempatkan sebagai makhluk merdeka dan mulia.
Artikel ini
akan membahaskan tentang keberadaan Islam dalam mengembalikan hak-hak kaum
wanita yang sebelumnya pernah dirampas dan penghargaan sebenar syariat Islam
terhadap kaum wanita.
Menurut Dr.
Abdul Qadir Muhammad Mansur, bentuk penghormatan Islam terhadap wanita dapat
diringkaskan kepada beberapa aspek berikut:
1.
Islam menyambut baik kelahiran bayi
perempuan. Islam menegaskan bahawa hak untuk hidup merupakan anugerah Allah
bagi setiap manusia, baik lelaki mahupun wanita. Allah berfirman:
“Dia
memberikan anak-anak perempuan dan anak-anak lelaki kepada siapa saja yang
dikendaki-Nya.”
(Al-Syura, 42:49)
Ibnu
al-Qayyim al-Jauziyah menegaskan, Allah telah mengutamakan suatu hal yang dulu
pernah direndahkan masyarakat Jahiliyyah, iaitu berhubung anak perempuan yang
suka mereka kuburkan hidup-hidup. Islam tidak sekadar memerintahkan seorang
muslim menjauhi perbuatan mengkubur bayi perempuan, tetapi juga berupaya meraih
darjat luhur kemanusiaan.
2.
Anjuran mengadakan akikah untuk anak
perempuan. Akikah bagi setiap anak yang lahir, lelaki mahupun wanita,
termasuk dalam sunnah Rasulullah S.A.W.
3.
Memberi nama yang baik.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Umar mempunyai
seorang anak perempuan yang bernama Ashiyah (yang bermaksiat), lalu Rasulullah
S.A.W menggantikan namanya dengan Jamilah (yang cantik).
Selain
itu, memberikan nama jolokan atau gelaran merupakan sesuatu yang terpuji.
Al-Nawawi mengatakan, “Dianjurkan memberikan nama jolokan kepada orang-orang
mulia atau yang sedarjat dengannya. Rasulullah S.A.W sendiri dijoloki Abu
al-Qasim (ayahnya Qasim), yang dinisbahkan kepada anak baginda, Qasim.”
4.
Memberikan bahagian waris.
Bukan saja lelaki, wanita juga berhak mendapatkan bahagian waris sesuai dengan
ketetapan Allah. Allah berfirman:
“Bagi
lelaki ada hak bahagian harta peninggalan ibu bapa dan keluarganya, dan bagi
wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu bapa dan keluarganya,
baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.”
(An-Nisa, 4:7)
5.
Menjaga dan mendidik anak perempuan
sedari kecil dan tidak membezakannya dengan anak lelaki.
Tabrani meriwayatkan, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Barangsiapa
mempunyai anak perempuan, lalu dia mengajarnya budi pekerti dan mendidiknya
dengan baik, memberinya rezeki yang telah Allah anugerahkan kepadanya, anak itu
kelak menjadi perisai dan pelindung dirinya dari api neraka.”
6.
Memberikan perhatian dan hak pendidikan
kaum wanita sama seperti lelaki. Rasulullah S.A.W bersabda:
“Barangsiapa
memiliki seorang anak perempuan, kemudian tidak menanamnya dalam kubur, tidak
menghinakannya, dan tidak memandangnya sebelah mata maka Allah akan memasukkan
dirinya ke syurga.”
7. Menghormati
mereka dalam tarafnya sebagai isteri. Allah S.W.T
memerintahkan para suami agar menggauli isteri dengan baik:
“Gaulilah isteri-isteri kamu dengan pergaulan yang
baik.”
(An-Nisa, 4:19)
Rasulullah
S.A.W bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah yang berbuat baik pada keluarganya,
dan aku adalah sebaik-baik orang di antara kamu yang berbuat baik kepada
keluarga.”
8. Kedudukan
seorang ibu berbanding ayah. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan
daripada Abu Hurairah, suatu ketika ada seorang lelaki datang dan bertanya
kepada Rasulullah S.A.W, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling
berhak mendapatkan perlakuan baik daripadaku?” Baginda menjawab, “Ibumu.”
Lelaki tadi bertanya lagi, “Lalu siapa seterusnya?” Baginda menjawab, “Ibumu.”
Dia bertanya lagi, “Lalu siapa?” Baginda menjawab sama, “Ibumu.” Lelaki itu
bertanya lagi, “Lalu siapa?” Rasulullah S.A.W menjawab, “Ayahmu.”
Rasulullah
S.A.W menegaskan, keredhaan seorang ibu merupakan tiket masuk syurga.
Subhanallah...
Beruntunglah wahai
puteriku sayang...
Begitulah kedudukan
wanita yang amat tinggi di sisi Allah.
Ayuh sama-sama kita
rafa’kan rasa syukur buat Yang Esa.
Yakinlah wahai
puteriku..
Kepada Rabb yang
mencipta segala bentuk keindahan yang ada pada wanita. Janganlah disiakan
keindahan tersebut.
Siramilah ia dan
suburkanlah ia dengan teras keimanan yang kukuh..
Wallahu a’lam.
Rujukan: Fiqh Wanita Menurut al-Quran dan as-Sunnah, Dr. Abdul Qadir Muhammad Mansur.
No comments:
Post a Comment