Sahabat. Apakah
sebenarnya sahabat? Bezakah antara sahabat, kawan, rakan, teman dan
sebagainya? Bagiku sahabat adalah satu perkataan untuk seseorang atau
ramai orang yang darjat dan kedudukannya lebih tinggi daripada
perkataan-perkataan lain yang disamaertikan dengannya.. lalu mengapakah
sahabat diletakkan pada satu tahap yang berbeza? Kerana Rasulullah S.A.W
sendiri menggunakan perkataan sahabat kepada orang-orang yang dekat
dengan baginda pada zaman baginda.
Sahabat
adalah seseorang yang mempunyai ikatan persaudaraan atas dasar Islam.
Sahabat adalah yang persahabatannya adalah kerana Allah semata-mata.
Sahabat adalah insan-insan yang tahu bahawa persahabatannya hanya untuk
mencari redha Allah semata-mata. Sahabat juga adalah yang
persahabatannya terikat atas ukhuwah islamiyyah dan atas aqidah yang
satu dan bukan untuk tujuan dan niat lain.
Firman Allah SWT:
"Pada
hari itu (kiamat), sahabat- sahabat karib setengahnya menjadi musuh
kepada yang lain kecuali orang- orang yang persahabatannya berdasarkan
TAQWA" [43.67]
Apabila bersahabat kerana Allah segala yang dilakukan untuk sahabatnya adalah ikhlas, pengorbanannya tulus dan kekurangan dan kelebihan sahabatnya
adalah kekurangan dan kelebihannya juga. Sahabat yang hadir memberi
cinta yang kadangkala tidak dapat ditemui pada insan lain. Kadangkala
sahabat boleh menjadi dekat daripada keluarga. Apabila ingin meluahkan
masalah, sahabatlah insan pertama yang difikir. Apabila persahabatan
yang disulami dengan kejujuran dan keikhlasan, segala-gala miliknya
adalah milik sahabatnya. Hati seseorang boleh jadi terlalu lembut dan
telus untuk sahabatnya. Kesalahan sahabatnya yang sebesar mana pun
tidak akan dibiarkan bernanah di hati, dipujuk diri sendiri bahawa itu
adalah sahabatku lalu ukhwah bertaut kembali dan syaitan tewas sekali
lagi.
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:
"Di sekitar arasy ada menara- menara dari cahaya. Di dalamnya ada orang- orang yang pakaiannya dari cahaya dan wajah mereka bercahaya. Mereka bukan
para Nabi & syuhada tapi para Nabi dan syuhada iri kepada mereka”.
Ketika ditanya oleh para sahabat, siapa mereka? Rasulullah S.A.W
menjawab, “ Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana
ALLAH, saling bersahabat kerana ALLAH & saling berkunjung kerana
ALLAH”
(H.R TARMIZI)
Indahnya
hidup bersahabat kerana Allah, sukar dinikmati oleh hati-hati yang
gersang dan yang lupa pada Allah. Bersahabat dengan insan-insan yang
hatinya ingin mencari redha Allah, secara tidak langsung akan
mendekatkan diri kita dengan Allah. Benarlah kata pepatah, jika ingin
menilai seseorang, lihatlah pada teman terdekatnya, itulah dirinya.
Masakan tidak, bagaimana dapat berkawan terlalu akrab jika tiada titik
persamaan. Perumpamaan yang terkenal tentang minyak wangi itu juga
sentiasa menjadi gambaran untuk menggambarkan seseorang yang bersahabat.
Jadilah
sahabat yang memberi,memaafkan, melupai kesilapan, mengorbankan
kepentingan diri, berlapang dada, adil (meletakkan sesuatu pada
tempatnya) dan bersederhana. Pengorbanan dalam persahabatan mengundang
erti yang sangat indah dalam persahabatan. Pengorbanan dalam
persahabatan adalah mengorbankan kepentingan diri sendiri demi sahabat
lain. Inginku tanya, sanggupkah dikau mengorbankan wangmu yang sedikit
ketika itu tatkala ada seorang sahabatmu lebih memerlukan? Sanggupkah
dikau melupakan waktu belajarmu tatkala seorang sahabatmu dalam
kecemasan sedangkan besok pagi ada peperiksaan penting bagimu?
Sanggupkah dikau meminjamkan apa yang dikau sangat sayang dikala
sahabatmu sangat memerlukannya lebih darimu? Sanggupkah kita tanpa ada
sedikit pun suara dan rungutan di hati? Jika jawapanmu tidak, maka kau
belum lagi cukup sempurna untuk menjadi sahabat kepada sahabatmu..
Ayuhlah sahabat, perbaiki diri kita, betulkan niat dalam bersahabat,
cantaslah rasa dendam dan dengki dalam dirimu.. Lapangkanlah dadamu
untuk menerima sahabatmu seadanya kerana kau juga mempunyai kekurangan..
Duhai
sahabat, janganlah mengambil kesempatan kepada sahabatmu atas nama
SAHABAT. Jangan mempergunakan perkataan itu untuk memenuhi keperluanmu
sendiri kerana dikau juga tidak suka diperlakukan sebegitu rupa.
Nurul Sakinah Mohd Sofiuddin
Biro Personaliti ISIS KAI UMT
No comments:
Post a Comment